Tuesday, October 6, 2015

Negeri Sembilan adalah terbaik untuk pelaburan hartanah 2015 & 2016

Limpahan kemajuan yang sedang dicapai oleh Lembah Klang yang sudah mempunyai pembangunan hartanah yang begitu pesat dengan harga yang tinggi menyebabkan kemampuan membeli dikalangan rakyat berpendapatan rendah dan sederhana amat sukar. Bahkan agak mustahil seorang jurutera berpendapatan RM 8K sebulan untuk membeli sebuah Kodominium di KL / PJ yang berharga lebih dari RM500K. Tetapi tidak mustahil untuk memiliki sebuah Teres 2 tingkat di Negeri Sembilan. Sedangkan jarak sempadan Negeri Sembilan ke KL hanya 40KM sahaja.

Maka, sebelum terlambat.... miliki lah hartanah di Negeri Sembilan sebelum menjelang 2020. Tidak mustahil nilai hartanah di N. Sembilan dalam masa 5 tahun akan datang akan sama seperti di KL / PJ / Lembah Klang (Selatan) pada hari ini. 


Apakah prospek Negeri Sembilan untuk jangka masa terdekat dan akan datang:


Melihat kepada kemajuan pelaksanaan projek-projek pembangunan yang menggalakkan dalam tahun-tahun sebelum ini dan projek-projek yang sedang dalam pelaksanaan di samping terdapatnya rancangan pembangunan jangka sederhana dan panjang, Negeri Sembilan berpotensi untuk meningkat lebih maju lagi dalam tempoh lima tahun yang akan datang. Antara program dan projek yang berpotensi melonjakkan pembangunan di Negeri Sembilan adalah:
(i) Pembangunan Bersepadu Seremban-Nilai-Port Dickson;
(ii) Pembangunan Negeri Sembilan sebagai Lembah Ilmu; 
(iii) Pemerkasaan Industri Pelancongan; dan 
(iv) Pembangunan Sektor Perindustrian. 


Pembangunan Bersepadu Seremban-Nilai-Port Dickson 
Kerajaan Negeri melihat bahawa rancangan pembangunan bersepadu di kawasan Seremban-Nilai-Port Dickson berpotensi dalam merancakkan aktiviti ekonomi Negeri dalam tempoh beberapa tahun yang akan datang. Pembangunan tersebut meliputi kawasan seluas lebih kurang 108,000 hektar iaitu kira-kira 16% daripada jumlah keluasan Negeri Sembilan. Komponen pembangunan di kawasan tersebut merangkumi pembangunan bandar baru, perumahan, perindustrian, perniagaan dan pendidikan. Perundingan sedang berjalan di antara Kerajaan Negeri dengan Kerajaan Persekutuan bagi memasukkan kawasan tersebut sebagai sebahagian daripada Greater KL (dengan izin).

Cadangan Pembangunan Bersepadu berkenaan dilihat amat berdaya maju memandangkan lokasinya yang strategik. Kawasan tersebut akan dihubungkan terus dengan Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) melalui susur keluar baru Seremban - Labu 5 yang sedang dirancang. Manakala cadangan pembinaan lebuhraya dari Senawang ke KLIA juga akan melalui bahagian barat kawasan pembangunan ini. Projek landasan kereta api berkembar dijangka turut menyemarakkan lagi pembangunan di kawasan berkenaan apabila siap sepenuhnya tidak lama lagi. 

Komponen pembangunan yang dirancang, seperti mana yang telah saya sebut sebentar tadi, turut menjadi tarikan kepada pelabur-pelabur untuk melabur di situ terutamanya dalam projek-projek perumahan, industri pembuatan, Industri Kecil dan Sederhana, pendidikan dan pasar raya besar. Dengan pemajuan ini, Kerajaan Negeri berharap akan dapat menawarkan tapak-tapak industri pada harga yang lebih kompetitif bagi menarik pelabur-pelabur yang sedang beroperasi di Lembah Klang supaya memindahkan kilang atau pejabat operasi masing-masing ke kawasan segitiga berkenaan untuk menjimatkan kos operasi. 



Pembangunan Negeri Sembilan Sebagai Lembah Ilmu
Dasar menjadikan Negeri Sembilan sebagai Lembah Ilmu yang diperkenalkan semenjak beberapa tahun lalu kini telah menampakkan hasil yang memberangsangkan, di mana Negeri Sembilan terus berada di kelompok teratas dalam apa jua bidang yang berkaitan dengan pendidikan. Negeri Sembilan telah berjaya menempatkan diri dalam kelompok yang terbaik dari aspek kecemerlangan pelajar dan prestasi institusi-institusi pendidikan. Dalam usaha meningkatkan lagi kecemerlangan itu, Kerajaan Negeri memberikan perhatian yang serius ke atas program-program yang dapat melahirkan generasi yang berkualiti dan berupaya menempatkan diri di pasaran semasa baik di dalam negeri ini mahupun di peringkat antarabangsa. 

Selain daripada kecemerlangan di peringkat sekolah, program Lembah Ilmu ini juga telah menampakkan kesan yang positif dari segi pertambahan bilangan institusi pengajian tinggi sama ada awam mahupun swasta di Negeri ini. Pada masa kini terdapat sebanyak 28 institusi pengajian tinggi awam dan swasta sedang beroperasi dengan bilangan pelajar seramai lebih kurang 38,000 orang.

Kedudukan Negeri Sembilan yang strategik iaitu berhampiran dengan Lembah Kelang dan Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan serta faktor kemudah sampaian akan meningkatkan lagi potensi pembangunan Lembah Ilmu di Negeri Sembilan. Sistem jaringan jalan raya yang baik dan kemudahan pengangkutan yang cekap seperti komuter meluaskan lagi kawasan berpotensi untuk pembangunan Lembah Ilmu ke daerah Seremban, Port Dickson, Rembau dan Tampin.




Pembangunan Industri Pelancongan
Negeri Sembilan memiliki produk-produk pelancongan yang berpotensi tinggi untuk meningkatkan lagi kemajuan industri pelancongan di Negeri ini. Antaranya termasuklah pantai peranginan sepanjang 18 kilometer yang telah diiktiraf oleh Kerajaan Persekutuan sebagai Pantai Peranginan Negara di Port Dickson yang juga dikenali sebagai Bandar Tentera Darat dan Wellness Zone (dengan izin). Selain itu, Negeri Sembilan juga memiliki produk warisan dan sejarah, hutan-hutan lipur, padangpadang golf dan makanan tradisional yang menjadi tarikan kepada pelancong. Produkproduk tersebut boleh dimajukan lagi khususnya melalui kerjasama antara pihak Kerajaan dan pihak swasta.

Sehubungan dengan itu, Kerajaan Negeri amat mengalu-alukan penyertaan syarikat-syarikat tempatan dan antarabangsa untuk melabur di Negeri Sembilan dalam membangunkan produk-produk pelancongan bagi mencapai matlamat yang telah ditetapkan iaitu meningkatkan sumbangan sektor pelancongan kepada KDNK Negeri. Dengan itu, Kerajaan akan memberikan pertimbangan sewajarnya ke atas cadangan pelaburan yang dikemukakan. 




Pembangunan Sektor Perindustrian 
Sektor perindustrian di Negeri ini yang terdiri daripada sektor pembuatan, perkhidmatan dan industri berasaskan pertanian, telah mengalami perkembangan yang amat menggalakkan. Sektor pembuatan dan perkhidmatan merupakan nadi utama kepada pembangunan dan kemajuan Negeri Sembilan dengan jumlah sumbangan kepada KDNK Negeri sebanyak 87.8% atau RM25.18 bilion dalam tahun 2013. Dua sektor ini mempunyai potensi yang amat cerah untuk terus berkembang pada tahun-tahun yang akan datang atas sebab-sebab yang berikut: 
(i) Harga tanah perindustrian yang lebih kompetitif berbanding dengan harga tanah di negeri-negeri lain yang berjiran; 
(ii) Rangkaian lebuh raya dan jalan raya sedia ada yang baik menghubungkan kawasan perindustrian dengan lapangan terbang, pelabuhan dan bandar-bandar utama di samping terdapatnya cadangan pembangunan lebuh raya baru Senawang - KLIA; 7
(iii) Kemudahan pengangkutan rel yang cekap dan efisien apabila siapnya projek landasan berkembar Gemas - Kuala Lumpur meluaskan lagi kawasan industri yang boleh dimajukan di Negeri ini; 
(iv) Bekalan air yang terjamin sehingga tahun 2030. Dalam hubungan ini, Kerajaan Negeri akan mewujudkan sistem perpaipan yang akan menghubungkan bekalan air ke setiap daerah. Dengan yang demikian, daerah yang mengalami masalah air akan dapat diatasi dengan membekalkan air daripada daerah yang berhampiran; 
(v) Kerajaan telah pun berjaya menyediakan bekalan elektrik tanpa gangguan kepada pekilang-pekilang sedia ada dan akan memastikan ianya diteruskan pada tahun-tahun akan datang; dan 
(vi) Penyediaan kemudahan telekomunikasi jalur lebar berterusan di kawasan perindustrian. Kawasan perindustrian adalah merupakan salah satu daripada keutamaan Kerajaan dalam penyediaan perkhidmatan jalur lebar.